HUKUM PERADUAN SMS
Sejak Kebelakangan ini peraduan melalui sms tumbuh bagaikan cendawan samada di televisyen mahupun di akhbar2 harian. Jelas sekali penganjur peraduan ingin mengaut keuntungan mudah dengan menawarkan pelbagai hadiah berupa wang tunai ataupun sebuah kereta. Malangnya ramai yang terperangkap dengan permainan mereka. Mereka mengaut keuntungan berlipat kali ganda dan kita hanya ternganga tengok keuntungan yang mereka kaut.
Ramai yang berselisih pendapat tentang peraduan sms ni, ada yang kata haram, ada yang kata bagus. Alah Kita cuba nasib, satu sms baru RM5.00 manatau boleh menang kereta sebiji. Itu antara kata2 orang yang gila peraduan sms. Saya juga dulu tidak terlepas dengan perangkap samar peraduan sms ni, yerla hadiah yang ditawarkan cukup menarik. sape yang taknak masuk, orang kata usaha tangga kejayaan.
Tapi setelah saya membaca Fatwa Jabatan Mufti Negeri Selangor, terus saya jauhi dari menyertai peraduan sms. Oleh itu saya rasa terpanggil untuk menyebarkan Fatwa ini supaya mengelakkan lebih ramai lagi terjerat dengan permainan sms ini.
Hukum menyertai peraduan SMS adalah haram. Dalil dan alasannya adalah seperti berikut:
Islam tidak melarang manusia untuk mencari harta dengan syarat ia tidak lari daripada ketentuan hukum yang dibenarkan oleh Islam. Ini kerana prinsip asas yang digunakan oleh Islam dalam mencari sumber rezeki adalah melalui usaha tanpa mengenepikan tanggungjawab dan kepatuhan seorang Islam sebagaimana dijelaskan dalam Surah al-Qasas ayat 77 yang bermaksud: “Dan carilah pada apa yang telah dikurniakan Allah kepadamu untuk kebahgiaan hari akhirat dan janganlah engkau lupa bahagianmu daripada dunia ini serta berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang buat kerosakan.’
Surah al-Maidah ayat 90 yang bermaksud: “wahai orang-orang yang beriman, bahawa sesungguhnya arak dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah semuanya keji dan perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya”
Penjelasan
Peraduan melalui sistem pesanan ringkas atau SMS melalui telefon mudah-alih semakin meningkat dengan menawarkan hadiah yang lumayan. Tawaran hadiah tersebut telah menyebabkan orang terpikat untuk menyertainya. Umat Islam dinasihatkan agar tidak melibatkan diri dengan peraduan melalui SMS kerana ia dijalankan melalui cara yang tidak jelas (meragukan), mengandungi unsur gharar (penipuan) dan terdapat unsur perjudian. Dengan fatwa yang dinyatakan ini akan dapat memberi panduan kepada umat Islam dalam melaksanakan setiap tindakan supaya selaras dengan Islam.












